Thursday, 25 May 2017

Bahasa dan Cinta (Nuril,2012)

BAHASA 
& CINTA

Bagaimana hendak memulakan perkenalan? Mengenyit mata? Kelihatannya seperti miang. Mungkin juga kelihatan nakal dan penakut. Mengapa tidak sahaja menghampiri dan hulurkan lafaz salam dengan senyuman? Nampak lebih budiman.

Tetapi biarlah kena dengan tempatnya. Jangan pula cuba menjadi budiman apabila si dia sedang laju melangkah menuju tandas awam. Kita mungkin akan menakutkan si dia, dan kejadian seterusnya yang tentunya tiada berbau debunga wangi tidaklah sanggup saya bayangkan.

Sekiranya sudah mula mengenal, kita mula bertukar nombor telefon, ataupun ID akaun Facebook. Tentu perasaan terus bergelojak mahu terus berhubung. Kita mula menghantar pesanan menggunakan SMS ataupun kemudahan sembangdi laman Facebook. Kita cuba mengenali si dia dengan lebih mendalam dengan bertanya khabar dan melontarkan soalan yang paling syahdu serta digunakan oleh hampir 90% rakyat Malaysia yang cuba mencari cinta, iaitu : “Sudah makan belum?”

Kita menunggu, lalu seketika kemudian si dia membalas, “Sudah.” Hati melonjak riang, laludengan pantas kita menaip : Mkn per???

Pada diri kita mungkin tiada salahnya soalan itu, satu soalan retorik yang cuma mahu memanjangkan perbualan. Tetapi kita tidak sedar, soalan dengan cara tulisan sebegitu adalah satu malapetaka! Kita belum benar-benar mengenali si dia.

Perkara pertama. Mungkin si dia seorang yang sensitif. Mengapa saya katakana ia satu malapetaka? Adakah kita sedar, sekiranya dibaca soalan yang ditulis tadi,kita seperti sedang mendesak si dia supaya lekas menjawab. Tulis dengan satu tanda soal sudah cukup. Sekiranya lebih daripada satu, pertanyaan kita tadi dibaca sebagai satu paksaan. Si dia mungkin tertanya-tanya, mengapa sehingga dirinya perlu didesak bagi menceritakan apa yang dimakannya? Mungkin si dia juga terfikir, belum ada apa-apa hubungan sudah mahu sibuk. Inilah malapetaka!

Begitu juga dengan penggunaan tanda seruan. Cukuplah kita gunakan satu sahaja tanda seruan di penghujung ayat. Sekiranya diletakkan lebih daripada satu tanda seruan, ia menggambarkan seolah-olah penulisnya sedang marah dan menjerit-jerit.

Perkara kedua. Kita menulis dengan perkataan singkatan dan menggunakan bahasa slanga. Perkataan singkatan yang ditulis mungkin membawa maksud yang lain apabila orang lain membacanya. Risikonya, apa yang kita mahu beritahu mungkin tidak kesampaian dan disalah tafsir. Keadaan ini dapat menimbulkan salah faham. Ia juga dapat menimbulkan persepsi penulisnya seorang yang terburu-buru dan gopoh.

Penggunaan bahasa slanga pula seolah-olah menunjukkan kita Cuma mahu bermain-main dan tidak serius. Apa sahaja yang kita tulis menggunakan bahasa slanga ini tidak akan  dipandang berat oleh orang lain. Mungkin kita mahu menyampaikan satu berita yang serius. Tetapi disebabkan kita gagal berbahasa dengan baik, tiada siapa mahu mendengar apa yang kita hendak sampaikan. Mungkin bagi kita, dengan menulis ringkas dan berbahasa slanga ini hanya perkara biasa, tetapi kita perlu sedar impaknya adalah besar.

Jadi, cuma dengan satu ayat yang tidak ditulis dengan baik, si dia dapat membuat pelbagai persepsi negatif ke atas kita. Kita mungkin dianggap seorang yang suka mendesak, gopoh dan terburu-buru, tidak serius dan tidak tahu bahasa. Maknanya secara tidak langsung, ‘saham’ kita bagi meraih cinta sudah merudum.

Sekiranya kita berkomunikasi tanpa bersemuka dan tanpa bersuara, apa yang ditulis itu penting. Apabila kita menulis dengan baik, penuh perkataan dan lengkap ayatnya, pihak di sebelah sana berasa senang dan selesa berhubung dengan kita. Tiada istilah ‘skema’ perlu dibangkitkan. Ia melambangkan rasa hormat kepada orang yang berhubung dengan kita. Sekiranya kita menghormati orang lain, kita juga akan dihormati.

Sebenarnya, cinta itu bukan hadir kerana cantiknya rupa ataupun harumnya bunga. Cinta itu datangnya daripada moleknya bahasa. Sekiranya tidak, manakan mungkin wujudnya pantun, gurindam dan seloka – lantunan indah bahasa orang dulu-dulu yang digunakan buat hiburan juga memikat. Mereka sudah lama sedar peri pentingnya bahasa ini. Jadi akhir kata, cintailah bahasakita, maka kita kelak dicintai.


Post kali ini,, ditulis pada 10 july 2012.. saya tak tahu mana idea tu datang, tapi ada dalam folder saya.. Moga bermanfaat :)